BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

KELUARGA TOK IMAM

Khamis, 30 September 2010

SELESAIKAN KONFLIK DENGAN SENYAP

Artinya: “Ya Allah, janganlah jadikan musuhku gembira karena kesusahanku, dan janganlah jadikan temanku membuat kejahatan terhadapku dan janganlah jadikan kemalanganku dalam urusan agamaku dan janganlah jadikan kepentingan dunia menjadi pusat perhatianku dan janganlah jadikan orang yang tidak berbelas kasihan ber maha raja lela atasku, wahai Tuhan yang hidup yang berdiri sendiri.”

SELESAIKAN KONFLIK DENGAN SENYAP

Semakin banyak orang yang terbabit dengan suatu konflik, semakin sukarlah menemui titik penyelesaiannya. Dua suami isteri jika berkonflik dan konflik itu hanya berlegar antara mereka berdua –tidak keluar dari rumah-, insya Allah konflik itu akan selesai dengan mudah dengan syarat keduanya dapat berbincang dengan baik dan sanggup bertolak ansur. Namun jika konflik telah keluar dari lingkungan rumah dan membabitkan orang lain (ibu bapa, mertua, masuk ke mahkamah atau sebagainya), jalan penyelesaian akan semakin sukar. Rasulullah s.a.w. pernah memberi pesan;

“Mohonlah bantuan (Allah) untuk mencapai hajat/keperluan kamu dengan senyap (tidak mengheboh-hebohkannya)” (Riwayat Imam at-Thabrani, Ibnu ‘Adiyy dan lain-lain dari Mu’az bin Jabal r.a.. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh)

Dalam menangani pemikiran bid’ah (pemikiran sesat), para ulamak menetapkan bahawa pemikiran bid’ah itu hendaklah dihadapi secara tertutup dengan pencetusnya atau pendokongnya. Rakyat atau masyarakat umum tidak harus diajak untuk sama-sama berkonflik tentang bid’ah itu. Jika bid’ah itu disebarkan secara tulisan, dijawab juga dengan tulisan. Kerana itulah, kita dapati sejak zaman salaf lagi, tidak pernah ada perdebatan terbuka dianjurkan ulamak-ulamak Ahlus-Sunnah untuk menghadapi pendokong pemikiran bid’ah (Syi’ah, Muktazilah, Khawarij dan sebagainya). Perdebatan hanya akan menjadi iklan percuma untuk pemikiran bid’ah itu tanpa disedari. Kecualilah jika bid’ah itu telah tersebar dan menjadi perbualan rakyat, maka ketika itu barulah dihadapi dengan terbuka mengikut kadar yang perlu.

Dalam menyelesai isu-isu jenayah, media massa hari ini cenderung menjadikan berita-berita jenayah sebagai modal untuk meraih untung. Hingga ada surat khabar dan majalah yang hidup dengan berita-berita jenayah. Oleh kerana setiap hari mendengar jenayah, rakyat sendiri menjadi tidak sensitif lagi dengan jenayah. Keluarlah ucapan “Biasalah tu” apabila mendengar atau membaca laporan jenayah. Malah ada anak-anak muda yang menjadikan kegemaran mereka membaca berita-berita tentang rogol. Ada yang teransang nafsu seksnya bila membaca berita-berita sebegitu, lalu terjebak dengan zina dan ada yang mencuba untuk melakukan jenayah itu. Perlukah semua jenayah di dedahkan?

Dulu semasa saya di Mesir, terbit satu surat khabar baru bernama al-Hawadith (peristiwa-peristiwa). Surat khabar ini menjadi kes-kes jenayah sebagai hidangan beritanya untuk pembaca-pembacanya. Akhbar ini dari muka awal hingga muka akhir penuh dengan jenayah (terutama yang sensasi); suami kena sembelih dengan isteri, wanita dirogol, pembunuhan sana sini… Ulamak-ulamak al-Azhar menentang akhbar ini. Ramai yang tidak berpuas hati dan menuduh ulamak-ulamak al-Azhar sebagai tertutup dan kolot. Tetapi ulamak-ulamak memberi alasan mereka; jenayah ialah untuk diselesaikan, bukan untuk dijadikan modal mencari untung. Cukup hanya orang-orang yang perlu terlibat untuk menyelesaikan jenayah itu sahaja yang perlu mengetahui jenayah itu; polis, pemimpin Negara, institusi berkaitan dan sebagainya”. Mungkin alasan cerita-cerita jenayah itu didedahkan ialah supaya rakyat beringat. Jika itu alasannya, tidak perlulah cerita jenayah itu dibanyak-banyakkan atau dipanjang-panjangkan cerita, sebaliknya cukup dengan memberi makluman sahaja tentang jenayah itu dan nasihat yang perlu kepada rakyat supaya beringat dan berjaga-jaga.

Sebenarnya, menyelesaikan masalah sama juga dengan memberi nasihat dan membetulkan orang lain iaitu ia perlukan keikhlasan dan kewarasan, iaitu tidak ada niat yang terselindung (sama ingin populariti atau meraih sesuatu dari konflik yang berlaku; untung, nama atau sebagainya) dan tidak beremosi. Dalam hal ini, tabiat orang politik tidak boleh dijadikan contoh. Dalam sepuluh orang politik yang bercakap tentang satu masalah atau konflik, sukar untuk mencari seorang yang berniat untuk menyelesaikannya. Hampir semua bercakap hanya untuk menonjol diri kepada masyarakat (ingin menjadi juara masyarakat). Kerana itu, jarang ada konflik yang selesai jika ia sampai di mulut ahli-ahli politik. Yang ada ialah masalah menjadi semakin kusut dengan cakap demi cakap dan ulasan demi ulasan. Ahli politik yang kita maksudkan itu tentunya bukan yang islamik dan ahli politik sebegitulah yang banyak di Negara kita hari ini.

http://ilmudanulamak.com

0 ulasan: